Dan para ulama berpendapat menyambut Maulidur Rasul ialah antara amalan mengingati dan beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan keperibadiannya yang boleh menyedarkan manusia akan tanda kebesaran Allah.
Firman Allah dalam Surah Al-Hajj membawa maksud “Barang siapa memuliakan tanda-tanda kebesaran Allah, maka sesungguhnya ia satu gambaran ketakwaan hati”.
Maka Maulidur Rasul yang disambut dengan rasa ketakwaan ini pada setiap majlis, ceramah atau forum akan mendekatkan umat Islam untuk menghayati keperibadian mulia baginda Rasul, meninggalkan segala yang ditegahnya, melaksanakan apa yang diajarkan, mengajak orang lain ke jalan dakwahnya, memperbanyak selawat ke atasnya dan mencintai ahli keluarganya.
AJARAN RASULULLAH
Antara ajaran Rasulullah s.a.w ialah supaya manusia sentiasa berbuat baik. Umat Islam disuruh bersikap adil kepada kawan dan lawan, hendaklah hidup bersaudara, bermasyarakat dan tolong menolong dalam perkara baik.
Rasulullah s.a.w sendiri hidup dalam masyarakat kafir Quraisy di Mekah. Namun Baginda memperkenalkan persaudaraan bersama para sahabat yang memeluk Islam dan terhadap keluarganya dari kalangan kafir Qquraisy serta jiran-jiran, kawan-kawan dan masyarakat.
Apabila para sahabatnya yang asalnya kafir, memeluk Islam, maka Rasulullah tidak melarang mereka yang telah Islam itu berbuat baik terhadap keluarga mereka yang masih lagi kafir.
“Namun, ramai di antara kita kini yang gemar memilih untuk bertentangan. Seolah-olah menyelesaikan sesuatu perbezaan dengan ‘berlawan tangan’ ialah lebih baik, hebat dan bermaruah berbanding menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara yang berhemah dan bersangka baik,” kata Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Azrina Sobian.
Di dalam artikelnya yang membicarakan mengenai perselisihan pendapat yang berlaku dalam masyarakat Malaysia kebelakangan ini, beliau mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan perselisihan yang tidak diurus dengan bijak, boleh membawa bencana.
TAMAK DAN PENTINGKAN DIRI
Apa yang sangat menyedihkan, katanya, ramai di antara kita yang tamak dan hanya mementingkan diri sendiri, gagal ataupun enggan melihat mahupun merasai kesan buruk pertentangan sebegini sedangkan perbezaan pandangan dan pemikiran yang berlaku sebenarnya boleh dielak.
Azrina, Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Ikim, berkata memilih perpecahan berbanding kesatuan ternyata bertentangan dengan pandangan hidup Islam.
Sebagai agama yang suci lagi sempurna, Islam menganjurkan penyatuan atau persaudaraan (surah an-Nisaa’ 4:1, surah al-Hujuraat 49:10) dan membenci perpecahan (surah ali-Imran 3:103). Dalam mencapai perpaduan ini pula, Islam menganjurkan kita saling kenal mengenali demi mencapai kesejahteraan dalam hidup(surah al-Hujuraat 49:13) .
“Lihatlah betapa indahnya pandangan hidup Islam terhadap persaudaraan. Malangnya, pada masa kini, kealpaan, ketidakfahaman atau keengganan untuk memahami tuntutan ini telah menyebabkan kita lebih suka bertelingkah berbanding berbaik-baik," katanya.
Menurutnya jika dikaji secara teliti sebab-musabab terjadinya perkara ini, maka kita akan kembali kepada satu sifat manusia yang paling utama iaitu ketamakan. Tamak untuk menjadi yang paling kaya, tamak untuk menjadi pemimpin, tamak untuk mendapat segala projek, tamak untuk menjadi paling popular dan segala bentuk ketamakan lagi sehingga rela memperjudikan kedamaian.
BETULKAN KEADAAN
Tindakan paling utama masyarakat Malaysia atau umat manusia membetulkan keadaan ini ialah untuk menyedari hakikat dan tanggungjawab masing-masing, katanya.
“Kita sebagai ahli masyarakat umum mempunyai tanggungjawab untuk menjadi manusia bijak yang boleh dan mampu menapis unsur-unsur kejahatan yang secara khusus dan bijaksana mengarah kita kepada perpecahan. Tidak perlulah kita mempercayai segala apa yang disampaikan ke telinga kita kerana segala yang disampaikan itu tidak semestinya benar belaka,” katanya.
Apapun, tanamkan keazaman di hati masing-masing bahawa dalam apa jua keadaan, matlamatnya ialah untuk mencapai perpaduan dan mengelakkan perpecahan.
"Selalulah kita berfikir bahawa jika pendapat kita benar, pendapat orang lain juga ada kemungkinan untuk menjadi benar," mintanya.
Menurut Azrina, inilah hakikat yang dipegang oleh Imam Shafie dalam memberikan hujahnya tentang sesuatu perkara yang mungkin berbeza pendapat dengan para ulama sezaman dengan beliau.
Imam Shafie pernah menyatakan bahawa “Demi Tuhan, aku tidak kisah sama ada kebenaran itu dari lidahku atau lidah musuhku”.
Ini bermakna, Imam Shafie ingin menghindari perpecahan yang mungkin akan terhasil daripada perbezaan pendapat dan matlamat utamanya ialah mengekalkan kesatuan umat. Inilah yang dikatakan "bersatu dalam perbezaan".
Jika setiap seorang daripada kita memegang matlamat untuk bersatu maka sebenarnya banyak masalah boleh diselesaikan dengan bijaksana, kata Azrina.
Oleh itu, carilah kesatuan bukan perpecahan, seperti kata Al-Subki, seorang penulis biografi tokoh-tokoh dalam Mahzab Shafie, bahawa “Tidak berselisih itu rahmat”.
No comments:
Post a Comment